Menyedari pentingnya pendidikan dan cara alternatif untuk menarik
minat generasi muda mencuba perkara baharu, Affin Bank mengambil
inisiatif menaja program Young Voices for Conservation anjuran bersama
Treat Every Environment Special (TrEES) untuk tahun keempat
berturut-turut.
Ketua Pegawai Eksekutif Affin Bank Berhad, Datuk Zulkiflee Abbas
Abdul Hamid berkata, program itu menyediakan pelbagai bengkel serta
lawatan sambil belajar kepada pelajar sekolah menengah untuk mendekati
dan memahami alam sekitar dengan lebih efektif.
"Pasukan-pasukan yang terpilih akan menerima geran pemula dari Affin
Bank untuk merealisasikan idea-idea kreatif mereka, seterusnya merebut
peluang memenangi hadiah utama pada penghujung program tersebut,''
katanya dalam satu kenyataan baru-baru ini.
Program ini mendapat sokongan Kementerian Pendidikan dan menerima
penyertaan 42 buah sekolah menengah di sekitar Selangor, Kuala Lumpur,
Putrajaya dan Negeri Sembilan.
Sebanyak 13 sekolah berjaya ke peringkat seterusnya dalam program
yang merangkumi amalan 4R iaitu berfikir, kurangkan, guna semula dan
kitar semula atau Re-think, Reduce, Reuse and Recycle dalam pelaksanaan
projek memulihara alam sekitar.
Menurut Zulkiflee, melalui program itu pelajar diuji dari segi
kesabaran dan semangat berpasukan dalam proses menyelesaikan projek
kehijauan mereka.
Pada masa yang sama, menurut beliau, tahun lalu, pihaknya turut
terlibat menyalur sumbangan membeli peralatan sukan untuk
sekolah-sekolah terpilih sebagai tanda sokongan kepada pelaksanaan dasar
1Murid 1Sukan.
Ujarnya, dasar tersebut dilaksanakan untuk memberi akses kepada semua
murid agar mendapatkan faedah melalui penglibatan dalam sukan khususnya
kepada murid yang kurang atau tidak aktif.
"Kami amat bergembira untuk bekerjasama dengan Kementerian Pendidikan
Malaysia dalam dasar 1Murid 1Sukan kerana sukan akan mengajar dan
membangunkan kemahiran insaniah individu.
"Sukan akan membentuk sahsiah, jati diri dan disiplin seseorang
justeru memberi keseimbangan antara pembangunan akademik dan fizikal
dalam kalangan generasi muda supaya mereka akan menjadi individu yang
serba boleh dan bersedia menghadapi cabaran pada masa depan,'' katanya.
Selain itu, Affin Bank dan Affin Islamic Bank Berhad menaja akhbar
pendidikan Utusan Malaysia, Tutor untuk diedarkan kepada tujuh buah
sekolah rendah dan empat sekolah menengah sepanjang tempoh enam bulan
ini.
Akhbar Tutor, kata Zulkiflee, digunakan sebagai salah satu bahan
rujukan dan latih tubi kepada pelajar di sekolah yang terpilih.