Monday, 21 July 2014

Isu Semasa _ Kaedah Alternatif Tarik Minat Pelajar Cintai Alam Sekitar

Menyedari pentingnya pendidikan dan cara alternatif untuk menarik minat generasi muda mencuba perkara baharu, Affin Bank mengambil inisiatif menaja program Young Voices for Conservation anjuran bersama Treat Every Environment Special (TrEES) untuk tahun keempat berturut-turut.
Ketua Pegawai Eksekutif Affin Bank Berhad, Datuk Zulkiflee Abbas Abdul Hamid berkata, program itu menyediakan pelbagai bengkel serta lawatan sambil belajar kepada pelajar sekolah menengah untuk mendekati dan memahami alam sekitar dengan lebih efektif.

"Pasukan-pasukan yang terpilih akan menerima geran pemula dari Affin Bank untuk merealisasikan idea-idea kreatif mereka, seterusnya merebut peluang memenangi hadiah utama pada penghujung program tersebut,'' katanya dalam satu kenyataan baru-baru ini.
Program ini mendapat sokongan Kementerian Pendidikan dan menerima penyertaan 42 buah sekolah menengah di sekitar Selangor, Kuala Lumpur, Putrajaya dan Negeri Sembilan.
Sebanyak 13 sekolah berjaya ke peringkat seterusnya dalam program yang merangkumi amalan 4R iaitu berfikir, kurangkan, guna semula dan kitar semula atau Re-think, Reduce, Reuse and Recycle dalam pelaksanaan projek memulihara alam sekitar.

Menurut Zulkiflee, melalui program itu pelajar diuji dari segi kesabaran dan semangat berpasukan dalam proses menyelesaikan projek kehijauan mereka.
Pada masa yang sama, menurut beliau, tahun lalu, pihaknya turut terlibat menyalur sumbangan membeli peralatan sukan untuk sekolah-sekolah terpilih sebagai tanda sokongan kepada pelaksanaan dasar 1Murid 1Sukan.

Ujarnya, dasar tersebut dilaksanakan untuk memberi akses kepada semua murid agar mendapatkan faedah melalui penglibatan dalam sukan khususnya kepada murid yang kurang atau tidak aktif.
"Kami amat bergembira untuk bekerjasama dengan Kementerian Pendidikan Malaysia dalam dasar 1Murid 1Sukan kerana sukan akan mengajar dan membangunkan kemahiran insaniah individu.
"Sukan akan membentuk sahsiah, jati diri dan disiplin seseorang justeru memberi keseimbangan antara pembangunan akademik dan fizikal dalam kalangan generasi muda supaya mereka akan menjadi individu yang serba boleh dan bersedia menghadapi cabaran pada masa depan,'' katanya.

Selain itu, Affin Bank dan Affin Islamic Bank Berhad menaja akhbar pendidikan Utusan Malaysia, Tutor untuk diedarkan kepada tujuh buah sekolah rendah dan empat sekolah menengah sepanjang tempoh enam bulan ini.

Akhbar Tutor, kata Zulkiflee, digunakan sebagai salah satu bahan rujukan dan latih tubi kepada pelajar di sekolah yang terpilih.

No comments:

Post a Comment